Tauke Qu Puteh, Datuk Vida Gila Glamor?
Di sebalik cerita kemenangan Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) yang bersiaran di TV3 baru-baru ini, cerita penaja utama anugerah berprestij itu iaitu produk Qu Puteh termasuk pengasas produk berkenaan dari Vida Beauty turut menjadi sensasi. Pengasas produk, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan Datuk Vida dalam erti kata lain berjaya membuatkan produk berkenaan diingati ketika berlangsungnya AJL 29. Dikecam atau dipuji di laman sosial, ia tetap publisiti terbaik buat produk itu. Malah tak kurang yang menyifatkan beliau jenis yang gila glamor apabila wajahnya kerap ditampilkan sepanjang AJL29 berlangsung. Tagline 'Qu Puteh barulah putih' sambil menyentuh pipi dengan jari yang digayakan beliau turut dipersendakan. Bagi Datuk Vida sebagai pelabur dan penaja, beliau mahu memanfaatkan jumlah pelaburan yang diberikan kepada sesebuah acara itu sebaik mungkin. Difahamkan untuk AJL29 saja beliau menaja mencecah RM3 juta manakala GegarVaganza hampir RM2 juta.
"Saya sebenarnya lebih selesa produk yang dijual saja ke depan. Tetapi selepas muka saya yang kian memberi impak terhadap jenama produk, saya rasa perlu ke depan. Pakai duta pun tak berapa nak jalan dan menjadi, jadi saya perlu fikir inisiatif lain. "Terpulanglah orang nak cakap saya gila glamor atau apa sekali pun. Siapa yang menjalankan perniagaan tak mahu untung dan pulangan berlipat ganda. Saya percaya suatu hari nanti orang akan faham kenapa saya buat begini. Jika saya tak berjuang untuk hak saya terutamanya sebagai penaja, pelaburan itu sia-sia saja. "Saya tak kisah orang nak cakap saya muka tembok ke apa kerana sebelum mencapai kejayaan ini, saya sudah melalui perit jerih hidup ketika memulakan perniagaan.
"Saya pernah jatuh terduduk, iklan tak menjadi dan macam-macam lagi termasuk berhadapan dugaan lebih besar selepas dua anak saya meninggal dunia dalam kebakaran pada Ogos 2013. Tapi saya kena bangkit semula," kata wanita berusia 44 tahun itu yang berasal dari Machang, Kelantan. Produk Qu Puteh sudah dua tahun beroperasi dan sebelum itu Vida Beauty mempunyai rangkaian produk kesihatan Pamoga. Produk Pamoga itu lebih menggunakan pendekatan mendekati orang kampung serta orang tua yang kesihatannya tidak mengizinkan. "Sebelum nak menaja program hiburan, saya sebenarnya fikir 100 kali kerana sebelum ini saya lebih kepada pasaran orang tua dan bukannya arus perdana. Tapi sebagai ahli perniagaan saya tak boleh statik dan perlu buka mata untuk pasaran baharu. "Maka sebab itu, saya memilih untuk ke pasaran dunia hiburan yang ternyata ramai kelompok sasaran saya. Sebab itu saya pilih Anzalna untuk menjadi duta produk QU Puteh. Insya-Allah tak lama lagi saya akan umumkan duta baru pula untuk rangkaian produk lain," katanya.
0 comments:
Post a Comment